Mengoncangkan DUNIA melalui PENA

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan? (Wahai umat manusia dan jin) - Al-Rahman: 13. Kongsikan catatan kehidupan anda yang mampu memberi motivasi dan nilai tambah kepada teman-teman lain. Moga perkongsian ilmu ini meletakkan kita sebelah kaki di taman-taman SYURGA.

Khamis, 10 November 2011

INDAHNYA SEDEKAH

Mesut Ozil atau nama manjanya Mat Ozil merupakan seorang remaja yang kental. Dia seorang lepasan SPM 2010 dan dia juga bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Dia mendapat tajaan penuh untuk melanjutkan pelajaran ke sana kerana dia telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPMnya.

Dia sangat bersyukur dengan nikmat yang telah diperoleh olehnya itu. Dalam kesyukurannya itu terselit satu bebanan untuknya. Ya, bebanannya untuk berjuang di medan pembelajaran dan alam pekerjaan yang amat getir di rasakan.

"Tak apa, ini semua buat ummah, ini semua buat Islam dan inilah medan juangku untuk Islam. Sumbangan apa lagi daripadaku yang boleh ku beri buat Islam. Ini sahajalah yang ku mampu juangkan". Dengus hati Mat Ozil.

Ramadan tiba
Mat Ozil bukanlah berasal daripada keluarga yang 'berada' tetapi hanyalah sederhana. Namun begitu, ayahnya sering mengajarnya hidup seperti cara hidup orang susah. Didikan itu telah sebati baginya sehingga kini.

Malam itu, selepas pulang solat terawih, dia menghidupkan suis televisyen dan menontonnya. Sejak masuk ke dalam bulan Ramadan, inilah kali pertama dia menonton televisyen. Katanya, mahu menjaga pandangan. Bukan sahaja televisyen, bazar Ramadan pun belum dia kunjungi.

"Biarlah ruh Ramadan kali ini benar-benar menyelinap kekal dalam jasadku walaupun terpaksa bermujahadah. Mujahadah itukan sememangnya pahit, pasti ganjarannya nanti manis!" Jerit batinnya untuk memujuk diri.

Tanpa berlengah, dia membuka channel TV 99. Ya, dia gemar menonton di saluran itu. Banyak program ilmiah yang disiarkan berbanding channel lain yang banyak melalaikan.

Kebetulan ketika itu, program 'Tanyalah Ustaz Ini ' berlangsung. Dia amat meminati program itu. Sementelahan, Ustaz Nicholas Anelka pula yang sedang berceramah pada waktu itu. Ramai yang kata Ustaz Nicholas Anelka tu tak handsome sebab kulitnya hitam. Bagi Mat Ozil, biarlah kulitnya hitam sekali pun, tetapi ilmunya yang tebal itu mampu memutih bahkan mensucikan hati insan lain.

Tajuk malam tu ialah berkenaan dengan Sedekah. Dalam program tu, Ustaz Nicholas Anelka ada menyebut satu ayat daripada al-Quran dan menghuraikan dengan baik dan lunak sekali.

Ini ayatnya :
"Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai pula ada 100 biji. Allah melipatgandakan ganjaran sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Setelah menghurai ayat itu, dia jadi tertarik sekali dengan amalan sedekah. Sebelum ini amalan sedekah dia taklah berapa 'menjadi', hanya suam-suam suku sahaja.

Ustaz Nicholas Anelka juga menceritakan satu kisah seorang pemimpin Islam yang A'lim pada suatu masa dahulu. Pemimpin Islam itu memegang jawatan sebagai seorang qadi di sebuah negara Islam yang kaya raya ketika itu. Gajinya juga tersangatlah lumayan, lagi lumayan dari gaji seorang Perdana Menteri sekarang ini. Namun apa yang special, gaji yang banyak itu, dia langsung tidak gunakannya. Bahkan, beliau menghabiskan semuanya melalui sedekah kepada golongan-golongan yang memerlukan.

Beliau berbuat demikian kerana beliau sangat yakin Allah akan membalas kepadanya dengan ganjaran yang lebih besar buatnya. Apa yang diyakinkan beliau tu, sememangnya terjadi. Setelah beliau solat malam ( qiamullail ) , terdapat banyak duit yang berada di bawah sejadahnya. Orang lain yang tahu cerita mengenai beliau, cuba meniru beliau, namun tidak menjadi, gara-gara mereka tidak yakin sepenuhnya kepada Allah dan masih ada sisa-sisa keraguan kepada kuasa Allah.

Mendengar kisah itu, Mat Ozil tambah bermotivasi. Dia tekad untuk banyakkan amalan sedekahnya. Tak lama kemudian, dia pergi pula mengadap laptop ayahnya. Seperti biasa, mahu lihat-lihat apa yang terbaharu di Facebook. Dia gemar meneliti status-status ilmuan Malaysia yang telah dia 'like' fan page mereka sebelum ini. Kebanyakan status facebook para ilmuan ini penuh ilmiah, tak kiralah pandangan mereka atau perkongsian ayat al-Quran atau hadis.

Setelah diteliti, satu status telah menarik perhatiannya. Perkongsian mengenai satu hadis Rasulullah S.A.W. Satu hadis berkaitan dengan sedekah telah di kongsi di status facebook Ustazah Aminah Gomez. Bunyinya begini :

"Sedekah yang paling afdhal (baik) adalah sedekah yang dikeluarkan dalam bulan Ramadan."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Jika tadi sudah bermotivasi untuk bersedekah, kini betambah-tambah motivasi lagilah dia setelah membaca hadis sahih daripada Rasulullah S.A.W itu.

Pagi itu dia bercadang untuk pergi ke Pasar Tani di pekan. Dia mahu membeli barangan-barangan keperluan lain yang masih tersisa untuk dibawa bekalan ke Mesir nanti. Sambil dia membeli, dia juga sebenarnya mendengar Kuliah Agama yang dilangsungkan di tengah kesibukan orang berniaga. Kuliah Agama itu telah beberapa tahun bertapak di situ sejak kerajaan negeri bertukar tangan. Itu satu usaha yang baik daripada pihak kerajaan dalam mengilmukan rakyatnya. Bukan hanya membiarkan rakyat dungu dan jahil dalam ilmu agama.

Kelihatan ramai sungguh peniaga pada hari itu. Maklumlah, dah nak raya. Dalam lamunan mendengar Kuliah Agama itu, dia kaget. Terkesima sebentar.

"Ish, selama aku datang ke pasar ni, tak pernah pulak aku beri sedekah kepada peminta-peminta sedekah dekat pasar ni. Rasanya, kini tibalah masanya untuk aku hulurkan sedikit duit setakat yang termampu. Mana tahu, dengan duit aku itu, mereka boleh beli juadah untuk berbuka. Kan besar pahalanya tu" Rungut hati Mat Ozil setelah melihat beberapa orang peminta sedekah dan beberapa buah tabung besar di Pasar Tani itu.

Dia sengaja memecahkan duitnya untuk diberi sedekah kepada semua peminta sedekah itu. Saat itu, dia sungguh yakin bahawa Allah akan membalas amalan sedekahnya itu dengan sesuatu yang lebih baik. Dia berazam untuk berikan RM 1 kepada setiap peminta sedekah dan setiap tabung yang diletakkan di Pasar Tanii itu.

Segalanya berjalan dengan baik. RM 1 di masukkan dari satu tabung ke satu tabung dan daripada seorang peminta sedekah ke seorang peminta sedekah. Namun, ada sesuatu yang tak dirancang berlaku. Ianya berlaku dibawah sedar. Memang tidak sedari langsung. Tersangatlah tidak sengaja.

Dalam kelancaran Mat Ozil menghulurkan sedekahnya, tiba-tiba apabila datang kepada seorang peminta sedekah yang cacat, dia 'ter'masukkan duit RM10 ke dalam balang coklat yang digunakan peminta sedekah itu untuk meminta sedekah.
Pada mulanya dia langsung tak sedar bahawa duit yang dia masukkan itu duit RM10. Namun setelah melangkah selangkah daripada peminta sedekah itu, dia terpana. Tersedar.

"Aduh, macam mana pulak boleh masuk duit RM10 pulak ni". Sambil menggaru kepalanya yang tak gatal.

Budget Mat Ozil untuk membeli barangan lain terus tersasar jauh kerana dia bukanlah seorang yang punya banyak wang. Hanya bawa sekadar 'cukup-cukup' sahaja.

"Ish, takkan nak ambil balik,nanti tak pasal sahaja kena pukul dengan orang ramai sebab kata aku ni pencuri. Huh, bahaya" Fikir Mat Ozil.

Tanpa menunggu lama, dia beredar dari Pasar Tani itu dek kehabisan wangnya.

"Tak apalah, mungkin itu rezeki dia. Semuanya sudah ditentukan oleh Allah. Dalam rezeki kita, tak semestinya semua itu habuan kita, mungkin juga dalam rezeki kita tu, ada rezeki orang lain. Ah, redha saja". Ikhlaskan hati, yakin sahaja ada balasan lain yang lebih besar yang menanti di hadapan. Ya, yakin!

Dia terus menunggang motosikal ayahnya itu pulang ke rumah. Dalam hatinya asyik teringatkan kisah yang terjadi di Pasar Tani tadi. Kerap benar menyinggah di mindanya.

Segalanya daripada Allah
Selang sehari selepas itu, permohonannya untuk mendapatkan sedikit bantuan, berupa sedikit wang daripada satu badan kebajikan ditolak. Wang itu mahu digunakannya untuk membeli barangan keperluannya untuk berangkat ke bumi Mesir nanti. Namun, dia redha. Mungkin ada orang yang lebih berhak terhadap wang itu.

Dia tidak menyepi memasrah diri. Dia usaha dan terus berusaha. Membuat surat itu dan ini. Memanjat pelbagai syarikat untuk meminta sedikit dana. Dia tahu dia dah banyak susahkan ibu bapanya dan dia mahu berusaha sendiri kali ini.

Teringat dia dengan ayat 1000 dinar yang selalu dia amalkan selepas solat. Dia sedar, dia harus yakin sungguh dengan Allah!

"Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar( dari perkara yang menyusahkannya). Serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan( ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepadaAllah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu". ( Surah At-Talaaq, ayat 2-3 )

Keyakinan berbuah
Sesungguhnya, tidak lama selepas itu, rezeki dia melimpah ruah. Bukan sahaja cukup, bahkan lebih! Syukur, alhamdulillah!

Dana yang terkumpul dulunya dari kosong sekarang melopong melihatnya. Macam tidak percaya pula di rasakan. Hebat !

Bukan itu saja, rezeki dia bertambah lagi apabila dia menang pula pelbagai hadiah setelah memenangi pertandingan 'Jangan Lupa Ayat al-Quran' di Radio ibnuddin.fm . Subhnallah, memang tak terkata. Terkesima entah bagaimana.

Yakinlah!
"Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Ali 'Imran: 180)

"Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?"
( Surah al-Munafiqun : 10 )

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
"Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya." (HR. Muslim)


Jangan bakhil.
Yakinlah dengan balasan Allah!
Sesungguhnya Allah tidaklah
menyalahi janji.
Percayalah.
Jangan takut untuk sedekah
sahabat-sahabatku.










Ikhlas: Iera Yusoff - 10.11.2011

Petikan untuk perkongsian: http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/3877-seronoknya-sedekah.html

ZIKIR CERDASKAN OTAK

Terngiang-ngiang bayangan Masjid Pondok Pasir Tumboh, masjid yang menjadi tempat solatku sejak umur lima tahun lagi, kali ini saya hendak berkongsi pengalaman ketika belum terbang ke Mesir lagi.

Selepas solat Subuh di masjid itu, ada majlis berzikir sehingga pukul lapan pagi. Sememangnya pada permulaannya malas juga hendak berzikir lama-lama tetapi ketika berada dalam keadaan menganggur di rumah semasa menunggu result SPM, saya cuba juga kuatkan diri ini menyertai majlis zikir ini.

Beberapa minggu selepas itu, aku merasai seperti ada kelainan selepas aku menyertai majlis zikir itu. Biasanya selepas solat Subuh aku terus tidur tetapi tidak dapat lelapkan mata ini walaupun aku tidur lewat malam.

Tetapi jika hari itu aku tidak menyertai majlis tersebut, letak sahaja kepala atas bantal, pasti terlelap. Aku pelik mengapa berlaku seperti itu, sehinggalah aku mendapat maklumat tentang kelebihan berzikir dalam sudut Sains ini.

Otak sebenarnya ialah satu himpunan aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi secara sempurna.

Ketika otak berfungsi, berlaku perubahan kimia di dalamnya yang melibatkan pergerakan ion-ion atau atom-atom yang membawa cas. Setiap hari empat belas juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan enam belas juta saraf tubuh yang lain.

Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Ukuran isyarat otak yang terhasil daripada aktiviti elektrik yang dikenali sebagai elektro-ensefalogram (EEG).

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimah-kalimah Allah S.W.T, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut.

Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat daripada perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedangkan sebelum berzikir otak tidak sebegini. Otak yang segar dan cerdas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Kajian dilakukan di University of Washington dengan menggunakan ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang kali, aktiviti saraf otak merebak ke kawasan-kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.

Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Jika ia mengaitkan tentang kecerdasan otak, maka betullah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Orang yang berzikir kepada Allah S.W.T ditengah-tengah orang yang lalai ibarat sebuah pepohonan yang hijau ditengah-tengah pepohonan yang kering."

Oleh itu, saudara-saudaraku seislam, ketika saintis barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini sudah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya.

Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.



Jadi tunggu apa lagi,
jom zikir!














Ikhlas: Iera Yusoff - 10.11.2011

Petikan untuk perkongsian: http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/3842-zikir-mencerdaskan-otak.html

MENGAPA KITA TAK KAYA-KAYA?

Artikel kali ini mungkin kata-kata yang biasa kita dengar dalam kehidupan seharian kita. Namun suka untuk saya kongsikan juga sebagai peringatan. Manusia itu kan mudah lupa, jadi harus diingatkan selalu. Mungkin sesetengah orang akan bertanya pada Allah "kenapa aku masih hidup miskin sedangkan aku bekerja kuat dan tak putus-putus berdoa".


Kenapa agaknya?

Kalau soalan "kenapa" tentu hanya Allah yang boleh menjawabnya. Tapi soalan saya "kenapa agaknya".

Dari segi logik akal kenapa Allah tidak memakbulkan doa kita untuk menjadi kaya?



Mungkin,
1. Allah tahu jika kita menjadi kaya kita akan menjadi sombong
2. Allah tahu jika kita menjadi kaya kita akan lupa berdoa kepadanya
3. Allah masih mahu menguji kita sejauh mana kita akan bersabar dengan ujian berada di dalam kemiskinan / kesederhanaan sama ada kita merungut, atau tidak
4. Belum masanya Allah mahu berikan kita kesenangan kepada kita dengan kemewahan

Terlalu banyak kemungkinan yang kadang-kala tidak terjangkau oleh pemikiran kita.

Allah tahu sesuatu yang kita tidak ketahui.

Allah mahu kita sentiasa meminta dan merayu kepadaNya. Tetapi jangan pula kita meminta yang bukan-bukan. Jika sekadar meminta dan berdoa pun tanpa usaha jangan bermimpi Allah akan tunaikan hasrat kita. Allah akan memberi mengikut kemampuan kita. Tapi tidak mustahil juga Allah akan memberi sesuatu kepada hambaNya walaupun hambaNya kurang usaha dan itu dinamakan Istidraj. Itu juga adalah salah satu bentuk ujian.

Manusia kadang-kala nampak kekayaan itu hanya dari segi material sahaja. Kaya harta belum tentu bahagia. Kebahagiaan itu juga adalah satu kekayaan. Pernah tidak kita rasa "mudahnya urusan aku" , satu perkara selesai tanpa ada masalah yang serius. Mungkin doa kita dah dimakbulkan cuma dalam bentuk yang lain.

Allah tak berikan kita kekayaan tapi Allah permudahkan urusan kita. Apa guna banyak duit tapi banyak kesulitan dalam hidup? Apa guna gaji besar tapi hutang keliling pinggang. Pernahkah kita terasa duit yang ada pada kita sekejap sahaja habis dan kita tidak nampak apa yang kita beli? Mungkin ini juga ada kaitan dengan keberkatan. Ada orang gajinya kecil namun mampu membeli macam-macam. Simpanannya, juga sudah banyak berbanding kita yang gaji lebih besar tapi langsung tak ada simpanan. Fikir-fikirkan.

Allah menurunkan ujian kerana Allah mahu kita sentiasa ingat padaNya. Contohnya, ujian perasaan. Kadang-kala kita merintih kenapa Allah seksa jiwa dan perasaan kita kerana masih ingatkan kisah cinta yang mungkin dah berakhir 4 atau 5 tahun lepas sehingga kita tutupkan hati kita pada orang lain.

Sedangkan si dia dah bergembira bersama orang lain? Kenapa? Manusia sering bertanya kan. Persoalan-persoalan yang dicipta itu sangat bagus jika kita fikirkan sebab musababnya. Bukan merintih kenapa dan terus merintih. Kerana Allah mahu kita sentiasa dekat padaNya. Sentiasa menyebut namaNya. Percayalah suatu hari nanti pasti Allah akan gantikan perasaan itu kepada insan yang benar-benar layak untuk kita.

Kita juga kena ingat dan terapkan dalam diri kita, kekayaan itu satu ujian. Memang saya pun kalau boleh inginkan harta yang banyak, nak beli apa pun boleh tetapi kalau dengan menjadi kaya mampu membuatkan saya melupakan Allah, saya redha jika saya hanya berada di level sederhana. Cukup makan dan pakai serta boleh membahagiakan keluarga.

Letakkan keyakinan dan kepercayaan pada Allah swt. Put your belive in Allah. Insya-Allah.

Ikhlas: Iera Yusoff - 10.11.2011

Petikan untuk perkongsian: http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/3874-mengapa-kita-tak-kaya-kaya.html

AIR MATA SEORANG LELAKI TUA DI KAKI LIMA

Seorang tua sedang menangis di sebuah bangku bersama sebuah cawan untuk disimpannya duit dari simpati warga kota dan kemudiannya didatangi seorang pemuda duduk sebelahnya.

Sufi : Assalammualaikum pak cik (sapaanya diserta senyuman ikhlas )

Pak Man : Waalaikumsalam, Nak bantu pak cik nak (sambil dihulurnya cawan itu ke arah Sufi)

Sufi memasukkan wang ke dalam cawan tersebut sambil tersenyum .

Sufi : Pak cik, saya ada belikan pak cik makanan, mari kita makan bersama.

Pak Man : Alhamdullilah, terima kasih nak .

Sufi : Pak cik sudah lamakah pak cik mengemis? Maaf jika soalan ini membuat pak cik terasa, saya hanya bertanya sahaja.

Pak Man : Sudah nak, sudah lama

Sufi : Bagaimana pak cik jadi macam ni??

Pak Man : Ini balasan buat pak cik nak. Pak cik menyesal, dahulu pak cik juara kota, semua orang menghormati pak cik, jalan-jalan di kota ini milik pak cik dahulu. Apabila sebut sahaja nama pak cik, pasti semua akan kecut perut, tapi itu dahulu nak, sekarang tiada siapa yang endah akan pak cik.Dulu hidup pak cik mewah, tapi sekarang inilah pak cik, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Pak cik berdosa nak, pak cik derhaka pada ibu pak cik, pak cik suka memaki hamun dia kalau pak cik tidak dapat apa yang pak cik inginkan, pak cik telah halau ibu pak cik dari rumah kerana pak cik malu ada seorang ibu seperti dia.Pak cik hina dia, dia merempat, tidur di kaki lima, mengemis seperti pak cik, pak cik anak derhaka nak, anak derhaka inilah balsan buat pak cik (si tua itu mengalir air mata kerana terlau sedih mengenangkan kisah silamnya)

Sufi : Sabar pak cik, minum air itu pak cik akan tenang, ibu pak cik masih hidup ke sekarang?

Pak Man : Ibu pak cik? dia dah .... dia dah tiada,sudah meninggal, pak cik yang langgar dia.

Sufi terpempan apabila mendengar luahan hati Pak Man. Nauzubillah ... tergamaknya Pak Man ini.

Pak Man : Pak cik langgar dia sebab pak cik malu ada ibu mengemis di kaki lima, pak cik rasa terhina, tapi sekarang pak cik menyesal kerana beberapa hari selepas kejadian itu, pak cik terlibat dalam kemalangan, dan menyebabkan kaki pakcik tempang dan perlu menggunakan tongkat untuk bergerak. Sejak dari hari itu, semua kemewahan, keistimewaan pak cik hilang, orang-orang sisih pak cik, pak cik hilang tempat tinggal, terpaksalah pakcik mengemis dan duduk di kaki lima ini untuk menuruskan hidup.

Pak cik sentiasa berdoa agar nyawa pakcik dicabut kerana pak cik sudah tidak sanggup untuk hidup di muka bumi ini. Tapi pak cik risau, adakah TUHAN akan menerima pak cik yang hina ini?

Sufi : Usah bimbang pak cik, masih ada masa untuk kita kembali kelandasan kita , pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita selagi kita masih hidup, ALLAH itu maha pengampun, sentiasalah kita berdoa kepadanya untuk dihapuskan segala dosa-dosa yang telah kita lakukan dahulu.


Kesimpulannya
Jasa Seorang Ibu Tidak Terkira, Sayangilah Ibu Sementara Mereka Masih Bernafas Di Dunia Ini. Ingatlah selagi Ibu masih hidup, kasihi dan sayangilah Ibu. Dan jika Ibu sudah meninggal dunia, ingatlah jasa ibu, doakan kesejahteraan ibu. Siapalah kita tanpa jasa dan pengorbanannya.
Sekiranya kita masih punyai ibu dalam menjalani hidup ini, hargailah ibu, jaga hati ibu dan hadiahkanlah keperibadian yang baik untuk ibu, agar ibu puas dengan apa yang ibu korbankan, agar ibu bangga kerana punyai anak soleh/solehah yang akan mendoakan ibu di akhirat kelak.


Iera Yusoff
10.11.2011

*Al-Fatihah untuk arwah ayahandaku Tuan Mohd Yusoff b. Tuan Solleh & bonda Raja Fatimah bt. Tuan Mohd Yusoff - terima kasih kerana melahirkan seorang insan yang sentiasa berharap dan berusaha untuk menabur bakti kepada Agama, Bangsa & Tanahairnya tercinta.

Petikan untuk perkongsian: http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/3886-tangisan-seorang-tua.html