Mengoncangkan DUNIA melalui PENA

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan? (Wahai umat manusia dan jin) - Al-Rahman: 13. Kongsikan catatan kehidupan anda yang mampu memberi motivasi dan nilai tambah kepada teman-teman lain. Moga perkongsian ilmu ini meletakkan kita sebelah kaki di taman-taman SYURGA.

Ahad, 29 Mei 2011

ATASI KEMARAHAN ANDA!

1. Ingatlah Allah.
Ingatlah bahawa Allah tidak suka kepada Si PEMARAH. sebagai hamba, kita tidak layak berasa marah apalagi memarahi orang tanpa sebab munasabah. Siapa kita untuk memarahi orang lain, sedangkan kita sendiri banyak melakukan kesilapan.

2. Sirami rasa marah dengan air wuduk.
Peranan utama marah datangnya dari syaitan. Syaitan diciptakan daripada api dan api hanya mampu dipadamkan dengan air. Oleh itu,ambillah wuduk supaya api syaitan terpadam dari tubuh anda.

3. Tengok wajah anda di cermin.
Alangkah buruknya wajah anda tatkala marah. Lihatlah muka merah, hidung yg kembang kempis dan mata yg menyala itu. Anda sangka orang berasa takut melihat keadaan anda yg begitu? Bagaimana kalau orang berasa lucu?

4. Kuncikan bibir dan diam dahulu.
Terasa hendak marah juga, diam sejenak. Tarik nafas, lepaskan perlahan-lahan. Anggap anda tiada tangan untuk bertindak dan tiada mulut untuk berkata-kata.

5. Ubah Kedudukan anda.
Jika ketika itu anda sedang berdiri, duduklah. Jika sedang duduk berbaringlah dan jika masih marah juga beredarlah ke tempat lain. Bawa hati ke tempat yang lapang, saksikan keindahan alam.

Sabtu, 28 Mei 2011

PESANAN BUAT SI CANTIK!

Setiap orang adalah unik. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya yang tertentu. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Rasulullah s.a.w kerana baginda telah ditentukan maksum. Selebihnya tidak terkecuali daripada sifat lemah, buruk, hina, sakit dan bermacam-macam perkara lagi. Anda tidak perlu berasa susah hati lantaran gemuk, tidak menarik, terlalu rendah malah cacat. Biar bagaimana keadaan anda, anda tetap unik dan tanpa anda alam ini tidak sempurna.

Memang ALLAH menjadikan manusia pelbagai rupa dan gaya. Di situlah berkuasanya ALLAH. Dia berhak dan mampu berbuat apa saja mengikut kehendak-Nya. Kita memang tidak ada pilihan untuk mempersoalkan itu ini, mempertikai itu ini. Anda mungkin berasa rendah hati melihat kekurangan-kekurangan yang ada pada diri anda.

Nah, anggap ia satu kelebihan. Jika anda sangka anda buruk, ia satu kelebihan yang tiada pada orang cantik. Anda sangka kecantikan sentiasa membawa untung? Tidak, tidak selalunya begitu. Kadang-kadang kecantikan memusnahkan. Setelah anda dikenali sebagai cantik, ketakutan anda terhadap keburukan lebih besar daripada jika anda semula jadinya buruk. Orang cantik fobia menjadi buruk. Setiap kedutan di wajah akan dirawat dan setiap kedutan begitu menyusahkan dirinya. Saat menjadi buruk pasti tiba, bagaimanakah perasan si cantik menghadapi hari tua mereka? Bukankah rasa susah yang tiada kesudahan?

Kadang-kadang seekor semut diberikan sayap oleh ALLAH supaya dia boleh terbang dan menerjah api. Samalah halnya, kadang-kadang seseorang manusia itu diberikan kecantikan supaya dengan kecantikan itu dia boleh berbuat sebanyak-banyak mungkar untuk diberikan balasan setimpal di Akhirat. Tontonlah filem atau drama-drama di TV. Kisah hidup orang cantik selalunya penuh duri. Jika anda buruk setidak-tidaknya anda bebas rasa riak dan takbur. Penghuni neraka kebanyakannya wanita sebagaimana disabdakan Rasullah s.a.w wanita itu tentu yang cantik tapi gagal memahami untuk apa kecantikan itu diberikan ALLAH kepadanya. Dan wanita itu tidak terkecuali juga yang buruk sebab dia berterus-terusan saja mempertikaikan kerja TUHAN.

Siapakah wanita penghuni syurga itu, barangkali yang cantik dan dia sentiasa faham kecantikan itu ukuran manusia . Cantik pada pandangan ALLAH adalah ketaatannya terhadap semua perintah dan larangan ALLAH. Barangkali juga yang buruk tapi dia faham ALLAH tidak memandang rupa paras tapi apa yang ada di dalam hatinya. Wahai orang cantik, orang buruk, orang rendah, orang cacat, semuanya itu hanyalah ukuran manusia dan ukuran manusia selalunya sasar. Hargai diri anda sebab kewujudan anda membuktikan kekuasaan ALLAH!

Petikan: www.iLuvislam.com

Selasa, 10 Mei 2011

KISAH PENSIL & PEMADAM

Kisah Pensel & Pemadam. Semoga kisah pendek ini mampu memberi kita 1001 pengajaran dan teladan. Dengan perkongsian kisah ini diharap dapat juga dikongsi bersama dengan rakan-rakan anda yang lain. Bacalah dengan penuh penghayatan agar segala intipati kisah ini dapat menyerap ke dalam hati sanubari anda. Bertuahlah kepada anda yang masih mempunyai “dia” atau “mereka”.

PENSIL: Saya mohon maaf

PEMADAM: Untuk apa? Kamu tidak buat salah apa-apa.

PENSIL: Saya mohon maaf kerana kamu kesakitan disebabkan oleh saya. Setiap kali saya melakukan kesalahan, kamu selalu ada untuk memadamkannya. Tapi setiap kali kamu menghilangkan kesalahan saya, maka kamu kehilangan sebahagian daripada diri kamu sendiri. Kamu menjadi semakin kecil dan semakin kecil setiap masa.

PEMADAM: Betul tu. Tapi saya tidak kisah. Kamu lihat, saya memang dicipta untuk melakukan hal ini. Saya dibuat untuk membantu kamu ketika kamu melakukan sesuatu yang salah. Walaupun satu hari, saya tahu saya akan pergi dan kamu akan menggantikan saya dengan yang baru, saya sebenarnya gembira dengan kerja saya. Jadi tolonglah, berhenti bimbang. Saya tidak suka melihat kamu sedih.

PENGAJARAN: Ibu Bapa adalah seperti pemadam sedangkan anak-anak mereka adalah pensil. Mereka selalu ada untuk anak-anak mereka, membersihkan kesalahan mereka. Kadang-kadang dalam pada itu, mereka terluka, dan menjadi lebih kecil / lebih tua, dan akhirnya berlalu pergi. Walaupun anak-anak mereka akhirnya akan bertemu dengan seseorang yang baru (pasangan), tetapi ibu bapa tetap gembira dengan apa yang mereka lakukan untuk anak-anak mereka, dan akan sentiasa benci melihat anak-anak kesayangan mereka merasa bimbang, atau sedih … Namun ibu bapa kita semakin kecil dan lebih kecil setiap hari … Suatu hari, semua yang kita akan tinggalkan nanti akan menjadi parutan pemadam dan kenangan dari apa yang kita biasa ada.

(“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [Quran 17:23-24])

Petikan: http://www.islamictazkirah.com/kisah-teladan/the-pencil-and-eraser-kisah-pensel-pemadam

CIRI-CIRI ORANG IKHLAS

Nuffnang Ads
424Share

Syaikh Ahmad Ibnu Athaillah berkata dalam kitab Al Hikam, “Amal perbuatan itu sebagai kerangka yang tegak, sedang ruh (jiwa) nya adalah tempat terdapatnya rahsia ikhlas (ketulusan) dalam amal perbuatan”
Bab tentang ikhlas adalah bab yang mutlak dan paling penting untuk difahami dan diamalkan, kerana amal yang akan diterima Allah SWT hanyalah amal yang disertai dengan niat ikhlas.

“Tidaklah mereka diperintah kecuali agar berbuat ikhlas kepada Allah dalam menjalankan agama”.
Oleh kerananya, sehebat apapun suatu amal bila tidak ikhlas, tidak ada apa-apanya dihadapan Allah SWT, sedang amal yang sederhana saja akan menjadi luar biasa dihadapan Allah SWT bila disertai dengan ikhlas.

Tidaklah hairan seandainya solat yang kita kerjakan belum terasa khusyu, atau hati selalu resah dan gelisah dan hidup tidak merasa nyaman dan bahagia, kerana kunci dari itu semua belum kita dapatkan, yaitu sebuah keikhlasan.

Ciri-ciri dari orang yang memiliki keikhlasan diantaranya :

1. Hidupnya jarang sekali merasa kecewa,
Orang yang ikhlas dia tidak akan pernah berubah sikapnya seandainya disaat dia berbuat sesuatu kebaikan ada yang memujinya, atau tidak ada yang memuji/menilainya bahkan dicacipun hatinya tetap tenang, kerana dia yakin bahwa amalnya bukanlah untuk mendapatkan penilaian sesama yang selalu berubah tetapi dia bulatkan seutuhnya hanya ingin mendapatkan penilaian yang sempurna daripada Allah SWT.

2.Tidak tergantung / berharap pada makhluk
Sayyidina ’Ali pun pernah berkata, orang yang ikhlas itu jangankan untuk mendapatkan pujian, diberikan ucapan terima kasih pun dia sama sekali tidak akan pernah mengharapkannya, kerana setiap kita beramal hakikatnya kita itu sedang berinteraksi dengan Allah, oleh kerananya harapan yang ada akan senantiasa tertuju kepada keredhaan Allah semata.


3.Tidak pernah membezakan antara amalan besar dan amalan kecil
Diriwayatkan bahwa Imam Ghazali pernah bermimpi, dan dalam mimpinya beliau mendapatkan khabar bahawa amalan yang besar yang pernah beliau lakukan diantaranya adalah di saat beliau melihat ada seekor lalat yang masuk kedalam tempat tintanya, lalu beliau angkat lalat tersebut dengan hati-hati lalu dibersihkannya dan sampai akhirnya lalat itupun boleh kembali terbang dengan sihat. Maka sekecil apapun sebuah amal apabila kita kerjakan dengan sempurna dan benar-benar tiada harapan yang muncul pada selain Allah, maka akan menjadi amal yang sangat besar dihadapan Allah SWT.

4. Banyak Amal Kebaikan Yang Rahsia
Mungkin ketika kita mengaji dilingkungan orang banyak maka kita akan mengaji dengan enaknya, lama dan penuh khidmat, ketika kita solat berjamaah apalagi sebagai imam kita akan berusaha khusyu dan lama, tapi apakah hal tersebut akan kita lakukan dengan kadar yang sama disaat kita beramal sendirian ? apabila amal kita tetap sama bahkan cenderung lebih baik, lebih lama, lebih enak dan lebih khusyuk maka itu bisa diharapkan sebagai amalan yang ikhlas. Namun bila yang terjadi sebaliknya, ada kemungkinan amal kita belumlah ikhlas.

5. Tidak membezakan antara bendera, golongan, ras, atau organisasi
Fitrah manusia adalah ingin mendapatkan pengakuan dan penilaian dari kewujudannya dan segala aktivitinya, namun pengakuan dan penilaian makhluk, baik perseorangan, organisasi atau institusi tempat kerja itu relatif dan akan sentiasa berubah, banyak orang yang pernah dianggap sebagai pahlawan namun seiring waktu berjalan adakalanya berubah menjadi susuk penjahat yang patut diwaspadai. Maka tiada penilaian dan pengakuan yang paling baik dan yang harus senantiasa kita usahakan adalah penilaian dan pengakuan dari Allah SWT.

Begitu besar pengaruh orang yang ikhlas itu, sehingga dengan kekuatan niat ikhlasnya mampu menembusi ruang dan waktu. Seperti halnya apapun yang dilakukan, diucapkan, dan diisyaratkan Rasulullah, mampu mempengaruhi kita semua walau beliau telah wafat ribuan tahun yang lalu namun kita senantiasa patuh dan taat terhadap apa yang beliau sampaikan.

Bahkan orang yang ikhlas boleh membuat iblis (syaitan) tidak boleh banyak berbuat dalam usahanya untuk menggoda orang ikhlas tersebut. Ingatlah, apapun masalah kita kita janganlah hati kita sampai pada masalah itu, cukuplah hanya ikhtiar dan fikiran saja yang sampai pada masalah tersebut, tapi hati hanya tertambat pada Allah SWt yang Maha Mengetahui akan masalah yang kita hadapi tersebut.

Semoga Allah SWT membimbing kita pada jalan-Nya sehingga kita bisa menjadi hamba-Nya yang ikhlas. Amiin.

Petikan: http://www.islamictazkirah.com/tazkirah/ciri-ciri-orang-yang-ikhlas

Rahsia Solat Dari Sudut Sains Dan Kesihatan

Hasil kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berikut adalah beberapa hasil kajian yang telah dilakukan berkaitan solat:

AKTIVITI OTOT – Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

ISYARAT OTAK – Ng Siew Chok

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tomakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

KOMPOSISI TUBUH – Dr Fatimah Ibrahim

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.


Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Petikan: http://www.islamictazkirah.com/about-islam/rahsia-solat-dari-sudut-sains-dan-kesihatan

AMALAN BERGUNA SELEPAS MATI!

Menurut Imam Ahmad bin Hambal, Ulama telah membuat kesimpulan bahawa apa pun jenis kebaikan yang diniatkan untuk dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal, pahalanya akan sampai kepada almarhum atau almarhumah.

1. Mendoakan dan memohonkan keampunan ::: Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika kalian mensolatkan jenazah, berdoalah dengan ikhlas untuknya. “Ya Allah, berilah ampunan bagi orang yang masih hidup mahupun yang telah meninggal di antara kami.”

2. Bersedekah ::: Saad bin Ubadah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Ya Rasulullah, ibuku telah meninggal. Dapatkah aku bersedekah atas namanya?” Beliau menjawab, “Ya, dapat.”

3. Berpuasa ::: Al Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Ibnu Abbas berkata,”Seorang lelaki menemui Nabi s.a.w. dan bertanya,Ya Rasulullah, ibuku telah meninggal dunia sedangkan ia mempunyai kewajiban berpuasa selama sebulan. Apakah aku dapat memenuhi kewajiban itu untuknya?, Rasulullah s.a.w menjawab, ‘Ya’.Rasulullah s.a.w bersabda,sesungguhn ya hutang kepada Allah lebih layak ditunaikan.

4. Haji ::: Al Bukhari meriwayatkan, Ibnu Abbas berkata, “seorang perempuan dari Juhainah menemui Nabi s.a.w dan bertanya, sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk berhaji, tapi dia belum memenuhinya sampai dia meninggal. Apakah aku boleh berhaji untuknya? Rasulullah s.a.w menjawab, berhajilah untuknya. ….tunaikanlah (untuknya) kerana Allah lebih berhak menerima pembayaran.”

5. Solat ::: Ad Daruquthni meriwayatkan, “Seseorang lelaki bertanya, Ya Rasulullah s.a.w, sesungguhnya aku mempunyai ibu dan bapa. Aku berbakti kepada mereka selama mereka masih hidup. Bagaimana cara aku berbakti kepada mereka setelah mereka meninggal? Rasulullah s.a.w menjawab, sesungguhnya perbuatan baik setelah mereka meninggal, engkau solat untuk mereka dengan solatmu dan engkau berpuasa untuk mereka dengan puasamu.”

6. Membaca al Quran ::: Hadiah membaca al Quran akan sampai pahalanya apabila pembaca al Quran tidak menerima upah kerana Rasulullah s.a.w mengharamkanmencari nafkah dan kekayaan dengan membaca al Quran. Setelah pembacaan al Quran selesai, maka pembaca hendaklah mengucapkan ‘Ya Allah sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada….(nama almarhum dan almarhumah).

Petikan: http://ustazazhar.net/v01/archives/category/artikel

TEMUDUGA SEBAGAI CALON JENAZAH

Semua Akan Dikehendaki Hadir Tanpa Sebarang Pengecualian

Kekosongan Jawatan:

1. Ahli Syurga Dari Awal.
2. Ahli Neraka Dari Awal.
3. Ahli Neraka Sementara .. Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

Empat Ganjaran Lumayan (Khas Untuk Jawatan 1)

1. Nikmat Kubur.
2. Perlindungan Di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga Yang Kekal Abadi.

Tarikh Temuduga:
Bila-Bila Masa Secara Adhoc Bermula Dari Saat Membaca Iklan Ini.

Lokasi Temuduga:
Di Dalam Kubur (Alam Barzakh).

Kelayakan:
Anda Tidak Perlu Bawa Siji-Sijil,Termasuk Sijil Saham Termasuk Saham Internet.
Anda Tidak Perlu Bawa Pingat , Mercedes Mata Belalang Atau Kad Kredit.
Anda Tidak Perlu Bawa Wang Atau Harta Serta Emas Yang Anda Kumpul.
Anda Tidak Perlu Berparas Rupa Yg Cantik, Hensem Atau Berbadan Tegap Atau Seksi.
Sila Bawa Dokumen Asal Iaitu : Iman Dan Amal Serta Sedekah Jariah Sebagai Sokongan.

Panel/Penemuduga:
Mungkar Dan Nakir.

Enam Soalan Bocor:

1. Siapa Tuhan Anda?
2. Apa Agama Anda?
3. Siapa Nabi Anda?
4. Apa Kitab Anda?
5. Di Mana Kiblat Anda?
6. Siapa Saudara Anda?

Cara Memohon:
Anda Cuma Perlu Menunggu Penjemput Yang Berkaliber Untuk Menjemput Anda. Ia Akan Menjemput Anda Pada Bila-Bila Masa Saja (Mungkin Sekejap Lagi). Ia Akan Berlembut Kepada Orang-Orang Tertentu Dan Akan Bengis Kepada Orang-Orang Tertentu. Ia Diberi Nama Izrail.

Petikan: http://ustazazhar.net/v01/archives/category/artikel

Mengapakah Ibumu Menangis?

Seorang anak laki-laki kecil bertanya kepada ibunya,

"Mengapa engkau menangis?"

"Kerana aku seorang wanita", kata sang ibu kepadanya.

"Aku tidak mengerti", kata anak itu.

Ibunya hanya memeluknya dan berkata,

"Dan kau tak akan pernah mengerti" Kemudian anak laki-laki itu bertanya kepada ayahnya,

"Mengapa ibu suka menangis tanpa alasan?"

"Semua wanita menangis tanpa alasan", hanya itu yang dapat dikatakan oleh ayahnya.

Anak laki-laki kecil itu pun lalu membesar menjadi seorang laki-laki dewasa, tetap ingin tahu mengapa wanita suka menangis. Akhirnya ia mendapat petunjuk dari Tuhan, Antara bisikan yang didengarinya adalah:

01."Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan "

02."Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya "

03."Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh "

04."Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya "

05."Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya "

06."Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahawa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada di sisi suaminya tanpa ragu "

07."Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan walaupun kadangkala dia tidak memerlukannya."

Tahukah kamu? Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, karena itulah pintu hatinya - tempat dimana cinta itu ada.

* Petikan dari http://www.iluvislam.com

Isnin, 9 Mei 2011

3 BIJI DONUT & KUASA SEBUAH SENYUMAN

Pagi tadi sebelum ke pejabat, kebetulan melewati sebuah gerai jual minuman dan kuih muih di tepi jalan. Tergoda dengan air kelapa muda yang dipenuhi dengan isi kelapanya di dalam balang minuman yang besar, aku lantas singgah sambil memesan segelas untuk dibungkus yang nantinya boleh diminum dalam perjalanan ke pejabat.

Sambil menanti tempahan dibuat aku khusyuk meneliti email-email jemputan media dan pengiklanan melalui iphone kesayanganku.

“Kak, nak masuk plastik ke?” tanya jurujual yang comel dan manis itu.

Aku tersedar dari kelekaan lantas memandang muka adik manis itu sambil tersenyum.

Tiba-tiba mataku terpandang barisan donut yang disusun cantik di dalam bekas lutsinar tidak jauh dari balang air kelapa. Ku pandang wajah seorang lagi jurujual lelaki dalam lingkungan 40an yang kebetulan memandangku sambil menghadiahkan senyuman.

“Bang, donut ni dijual bagaimana ya?” tanyaku.

“5 biji RM2 sahaja cik, tapi disebabkan dari tadi saya lihat cik senyum kepada sesiapa sahaja maka saya jual pada cik 3 biji untuk RM1,” jawab peniaga lelaki itu.

“Oh, ada juga begitu ya,” jawab ku jujur.

“Orang kita sekarang ni cukup susah nak berikan senyuman. Padahal bukan kena bayar pun. Tapi melihat cik senyum tadi melegakan tekanan saya, dengan harapan dapat ramai pelanggan hari ini.” Jelas peniaga tersebut. Aku lihat kejujuran pada anak matanya.

Akhirnya aku yang pada asalnya ingin beli 2 biji sahaja (jika gerai lain menjualnya 40 sen sebiji) terus membeli RM3, untuk 9 biji donut yang kemudiannya dibawa ke pejabat dan makan bersama teman-teman.

Cuma ayat terakhirku kepada peniaga lelaki terbabit, “Marketing yang bagus bang, sekurang-kurangnya abang dapat rezeki yang lebih hanya dengan memberi pujian. Dan saya dapat tambahan donut pada harga yang lebih murah hanya dengan sebuah senyuman.”

Sedarkan anda bahawa wajah merupakan media ekspresi seseorang. Melalui gambaran wajahnya kita dapat menilai diri dan pergolakan jiwa yang melanda dirinya. Namun ada juga yang individu dapat menutup permasalahan diri melalui wajah yang murah dengan senyuman. Kerana itu senyuman menjadi sangat variasi dengan nilai dan karakteristik yang warna-warni.

Senyuman adalah satu tabiat manusia yang cukup misteri. Ada pula yang mengatakan bahawa senyuman adalah sesuatu yang aneh, Tapi yang nyata, walaupun semua orang punyai bibir namun untuk urusan yang satu ini tidak semua orang mampu melakukannya terutama jika dalam keadaan marah.

Variasi dengan nilai dan karakteristik senyuman yang warna-warni:

i. Senyuman Egois/ sinis – ia sebuah senyuman tanpa persahabatn. Sebuah senyuman yang terhasil daripada perasaan dendam kesumat. Senyuman ini dapat menyebabkan penerima senyuman sakit hati melihatnya.

ii. Senyuman Mengoda – ia bertujuan menggoda seseorang. Biasanya dilakukan terhadap lawan jenis.

iii. Senyuman Ketabahan – senyuman yang menghiasi bibir-bibir orang yang tabah menghadapi dugaan mesti pun sarat menanggung kepayahan sehinggakan tiada sesiapa mengetahui kesengsaraan yang dihadapinya. Biasanya mereka melewati musibah dengan kejayaan kerana penawarnya adalah senyuman tulus dari bibirnya itu.


iv. Senyuman tulus dari hati yang paling dalam – ia muncul untuk membahagiakan, menghormati, dan memuliakan orang lain. Senyuman ini menunjukkan kondisi paralel antara bibir (lahiriah) dengan hati (bathiniah). Sebuah senyuman yang dalam syariat Islam bernilai ibadah, sebuah sedekah yang mudah dan ringan. Sebuah jambatan mengeratkan silaturahim dan jalinan ukhuwah.


Manfaat senyuman kepada individu terbabit dan orang lain:
i. Dari sudut penampilan – senyuman dapat memperbaiki penampilan dan menambah daya tarikan. Tidak kira senyuman tersebut sengaja diada-adakan, terpaksa atau tulus, namun ia tetap menjadi baik dan mempunyai nuansa tersendiri. Lebih manis senyuman itu, lebih indah dan menyejukkan hati. Dengan senyuman kita akan lebih dihargai dan disegani.

ii. Dari sudut kesihatan – individu yang murah dengan senyuman biasanya terhindar daripada penyakit stress. Jantungnya berdetik secara normal yang menjauhkan dirinya dari ketegangan. Individu ini akan melalui kehidupan seharian dengan senang dan ceria, mempunyai tubuh yang sihat dan awet muda. Menurut kajian perubatan, untuk menghasilkan sebuah senyuman memerlukan bantuan 17 otot wajah. Jadi tidak menghairankan jika kita sering bertemu individu yang berusia lewat 50an namun wajahnya masih segar, ceria dan sihat. Ia berbeza dengan individu yang suka marah, hobinya bermasam muka, atau suka merungut yang biasanya kelihatan lebih tua kerana sifat-sifat ini memerlukan sokongan lebih 32 otot wajah.

iii. Dari sudut sosial – sebuah senyuman akan membentuk keakraban dalam pergaulan masyarakat, dan ini akan menambahkan suasana hangat dan indah. Senyuman memang satu kuasa yang hebat yang mampu meluluhkan kemarahan seseorang. Hendaknya kita membiasakan diri untuk bersikap tenang dan murah dengan senyuman dalam pergaulan. Bila kita mampu melaksanakan ajaran Rasulullah s.a.w, maka permusuhan dan dendam dapat dihindari. Bukankah dunia akan menjadi indah dengan senyuman, maka senyumlah dan dunia akan tersenyum bersama kita.


Senyuman adalah sifat yang terpuji dan indah, yang mampu menarik hati, menenangkan jiwa dan mengembirakan diri kita dan orang-orang di sekeliling kita. Bagaimana kita seorang Muslim tidak tersenyum sementara kita telah mengakui bahawa Allah sebagai Rabbul Al Amin, Islam sebagai agama, dan Muhammad s.a.w adalah nabi kita.

Bagaimana kita tidak senyum sementara dianugerahan kita taman-taman yang indah, dengan alam kehijauan yang menenangkan?

Bagaimana kita tidak senyum sementara Allah telah mengadakan bintang-bintang yang terang, lautan yang luas, tanah yang berkelok-kelok dan planet-planet yang berputar mengikut paksinya?

Bagaimana kita tidak senyum, sementara burung-burung menyanyi, mentari bersinar, bulan bercahaya indah, pagi hari yang datang dengan sinar memancar, dan hujan di balik awan?

Bagaimana kita tidak senyum sementara angin sepoi-sepoi bertiup, daun-daun gemersik, kenari bersiul, aroma indah bertiup, air yang jatuh ke batuan mendendangkan irama alam?

Segalanya yang dianugerahkan kepada kita penuh dengan keindahan yang tidak mampu kita balas. Justeru itu, sukarkah kita sekadar sedekah sebuah SENYUMAN kepada insan lain di sekeliling kita? Senyumlah kerana ia anugerah terindah buat diri kita dan biarlah keindahan itu kita kongsikan dengan makhluk lain yang sama-sama diciptakan dengan rahmat-Nya.

SENYUMLAH dari hati yang tulus dan ikhlas maka kebahagiaan itu milik anda. Buktinya dengan sebuah senyuman saya mendapat rezeki donut pagi ini pada harga yang istimewa. Bukankah itu istimewanya sebuah SENYUMAN!

BOLEHKAH KITA MEMBUAT PILIHAN?

Rata-rata cukup gemar apabila diberi peluang untuk membuat pilihan. Semestinya yang terbaik ingin dilakukan meskipun tidak tahu adakah itu pilihan terbaik atau tidak?

Rentetan kehidupan kita, acapkali istilah peluang untuk membuat pilihan hadir, memilih makanan kegemaran, jenama pakaian, kediaman, pendidikan, pekerjaan, sehinggalah diberi pilihan untuk memilih pasangan yang bakal menemani kita melayari bahtera kehidupan.

Dewasa ini hakikatnya usahawan-usahawan kita cukup istimewa kerana begitu banyak peluang terbentang di depan mata. Pelbagai tawaran dan pakej lengkap perniagaan disusun dari yang kosong hingga yang anda hanya perlu guna tenaga dan idea (sistem francais), itupun turut ditawarkan. Berbagai agensi dan kementerian giat menewarkan pelbagai peluang khusus buat usahawan-usahawan kita dari pelbagai sektor.

Jika masih ada di kalangan kita yang berkata, ‘tidak tahu hendak berniaga apa?’ rasanya pasti kemusykilan harus timbul di sini. Benarkah begitu atau individu terbabit yang ‘berat tulang’ untuk berusaha mendapatkan matlamatnya kecuali mengharap impian datang bergolek di hujung kaki.

Menyingkap usahawan-usahawan terdahulu yang gigih berusaha meskipun cabaran datang bertubi-tubi, tetapi kerana kecekalan, optimis dan tahu bahawa pilihan dibuat adalah tepat, kejayaan mereka rangkul walau terpaksa melalui peredaran masa yang panjang.

Lantas semestinya penghargaan harus diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia atas keperihatinan kementerian terbabit memberi penghargaan kepada golongan yang memberi sumbangan bukan sedikit kepada pertumbuhan ekonomi negara. Paparan eksklusif ini kami muatkan di muka surat 10 hingga 12 untuk dikongsi bersama dalam majalah Jutawan bilangan 19.

Buatlah pilihan anda selagi diberi peluang untuk berbuat demikian. Harus diingat masa tidak pernah menunggu kita kecuali kita yang perlu mengejarnya. Sedikit kita terpesong atau tersasar peluang terbabit menjadi sia-sia.

Cuma satu yang tiada dua, atau tiga dan kita tidak berpeluang untuk membuat pilihan atau jika diberi pilihan rasanya hanya dia yang satu, dialah ibu yang melahirkan kita. Hanya dia yang satu abadi selamanya dunia dan akhirat. Selamat Hari Ibu untuk ibu-ibu seluruh dunia.

Berusahalah membuat pilihan yang tepat!

Selasa, 3 Mei 2011

JANGAN TAKUT UNTUK BERUBAH

Menyoroti kalimah ‘BERUBAH’ cukup besar maknanya bagi insan-insan yang positif dan bermotivasi. Sesuatu perkara itu tidak akan jadi lebih baik selagi tiada kalimah keramat ini. Tetapi sejauh mana kepentingan ‘perubahan’ dan ‘mula’ berubah menjadi keperluan dalam kehidupan kita?

Saban tahun setiap individu akan mencipta keazaman tetapi sehingga penghujung tahun azam tinggal azam kerana dalam dirinya tiada langsung kalimah berubah atau ingin berubah.

Begitu ramai usahawan dan jutawan yang saya temui, setelah dihalusinasi solusi yang saya perolehi daripada kejayaan mereka cuma satu, BERUBAH.

Sebuah pengorbanan yang maha dahsyat diperlukan apabila kita berusaha mengubah diri, persekitaran dan utamanya paradigma pemikiran kita dalam menyelusuri arus perdana. Namun perubahan yang hakikatnya sedikit ini adakala cukup sukar untuk diimplikasikan di kalangan kita.

Jika 54 tahun dahulu, datuk nenek kita masik ditakuk lama dan tidak melakukan perubahan maka, mana mungkin kita mampu menikmati kemodenan hari ini. Setelah negara bebas dari penjajah, masihkah kita mahu hidup bagaikan ‘katak bawah tempurung’ sedangkan peluang terlalu banyak terbentang di hadapan mata. Jangan nanti kealpaan kita yang sedikit ini memesongkan kita dari landasan yang hakiki.

Sejenak menganalisa bagaimana sang pemikir menjadi insan yang luar biasa kerana mereka telah melakukan perubahan yang akhirnya turut memberi inspirasi kepada kita.

Cubalah untuk berubah, walau hanya satu langkah dari kehidupan yang biasa-biasa untuk jadi luar biasa agak kelak kita menjadi insan biasa yang berideologi luar biasa demi sebuah kehidupan yang memang luar biasa. Usah takut pada perubahan kerana jika hari ini kita tidak cuba untuk berubah, mana mungkin kita tahu bahawa perubahan itu antara platform kita penuhi impian.


Moga hari ini lebih baik dari semalam, Selamat BERUBAH.