Mengoncangkan DUNIA melalui PENA

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan? (Wahai umat manusia dan jin) - Al-Rahman: 13. Kongsikan catatan kehidupan anda yang mampu memberi motivasi dan nilai tambah kepada teman-teman lain. Moga perkongsian ilmu ini meletakkan kita sebelah kaki di taman-taman SYURGA.

Khamis, 27 Oktober 2011

18 RAHSIA KITA KONGSI BERSAMA

Benarkah ada kalanya kehidupan ini tidak adil kepada sesetengah antara kita? Subhanallah kenapa secetek itu akal kita mampu berfungsi. Hakikatnya setiap daripada kejadian ini dianugerahkan Yang Maha Berkuasa dengan pelbagai keistimewaan. Cuma sejauh mana individu itu menghargai anugerah kurniaan dan menggunakannya sebaik mungkin sebagaimana selayaknya sebagai hamba yang kelak akan kembali kepada pencipta-Nya.

Naskhah hebat karya Zabrina A. Bakar dengan 222 muka surat memberi sebuah perkongsian kepada saya dalam menelusuri kehidupan ini. Pastinya yang terindah bersama insan-insan yang saya kasihi seperti arwah kedua-dua ibu bapa saya Tuan Mohd. Yusoff dan Raja Fatimah, bapa dan ibu mentua saya, Md Som dan Halimah, suami tercinta, Fadilah, sepuluh cahaya mata yang menyeri kehidupan saya, Nuraliya Sakinah, Abdullah Hakim, Ismail Hasif, Nurkamilya Halimah, Ahmad Dani Haiqal, Muhamad Hashim, Nik Aidiel Irdanial, Amir Hamzah, Nik Ameerul Uwais, dan Nik Muhammad Aufazayyan, adik-beradik saya, pasangannya & keluarganya, Tg Norfarizal & Malik, Tg Nor Zakiyah & Zulfika, Tg Mohd Azlin & Norazlinaliza, Nik Norfazarina & Asyraf, Nik Nor Zaitun, dan Nik Muhammad Indra Putera, saudara mara, barisan pendidik yang menjadikan saya seperti hari ini dan akhirnya sahabat-sahabat saya yang dikasihi.

Satu hobi saya yang mungkin agak pelik, pantang jumpa buku yang ada ‘sesuatu’ yang boleh dimanfaatkan bersama (saya dan sahabat-sahabat saya) pasti akan saya beli meskipun di rumah masih banyak buku-buku yang belum habis dibaca atau belum dimulakan dengan muka surat pertama. Ini belum dikira lagi buku-buku pengajian (kebetulan kini saya sedang mengikuti pengajian jarak jauh – Master Komunikasi Korporat di UPM, Serdang) yang perlu ditelaah. Tapi yang lagi pelik ialah, saat saya keletihan selepas seharian dengan kekangan tugas yang bagaikan tiada noktah, jika kebiasaan insan lain pasti pitam terus bila sampai ke rumah, namun tidak bagi saya. Saat-saat ini saya habiskan dengan membaca buku seketika, sekurang-kurangnya 30 minit dan barulah mata ini lelap dengan tenang (jadi kaedah kira kambing biri-biri ajaran Mr Bean tidak berfungsi bagi saya hahahah).

‘Hidup Bukan Rahsia, Anda, Saya dan Kita’ nyata memberi sesuatu kepada saya. Rangkuman 18 kisah penuh inspirasi berasaskan kehidupan seharian seorang Muslim digarap penuh bersahaja oleh penulis ini dalam bahasa yang paling mudah untuk difahami. Lebih membanggakan dengan harga RM24.50 senaskhah melalui pembelian buku ini anda telah memberi makanan berkhasiat selama seminggu kepada seorang kanak-kanak dengan kerjasama www.B1G1.com, HEBAT bukan, peroleh ilmu sambil menderma.

Apakah rahsia tersembunyi dalam naskhah yang saya katakan hebat ini, sorotinya secara ringkas kerana saya juga ingin anda membantu memberi makan seorang kanak-kanak lain melalui pembelian buku tersebut yang saya peroleh di sebuah kedai buku di Masjid Jamek, Kuala Lumpur, tanggal 13 Mac 2011, yang lalu (tapi hari ini 26 Oktober 2011 baru habis membacanya...mmmm lama sungguh saya bazirkan masa untuk peroleh ilmu ini, betapa ruginya saya).

RAHSIA 1 – Kasihi saudara kita
~ Satu auns darah persaudaraan adalah lebih bernilai daripada satu paun persahabat. – Peribahasa Sepanyol.

Barang siapa yang percaya kepada Allah dan Hari Kiamat mestilah mengekalkan hubungan baik dengan saudaranya.” (Al-Bukhari dan Muslim).

Seorang pengembara badwi bertemu Rasulullah s.a.w dan bertanya kepada baginda;
“Beritahulah saya, apakah yang akan mendekatkan saya kepada Syurga dan menjauhkan saya dari neraka?”
Rasulullah s.a.w menjawab; “Sembahlah Allah dan jangan menyekutu-Nya dengan sesiapa atau apa-apa benda yang lain. Jagalah sembahyangmu dan bayarlah zakat dan PELIHARALAH SILATURRAHIMU.” (Al-Bukhari dan Muslim).

Masya-Allah, betapa pentingnya kita menjaga hubungan silaturahim. Namun hari ini, begitu ramai keluarga yang pecah belah dan putus persaudaraan hanya kerana harta dunia, pangkat dan kuasa.

Selepas membaca coretan ini, bertanya khabarlah kedua orang tua kalian, saudara mara dan sahabat handai, moga-moga ia mendekatkan anda dengan Syurga dan menjauhkan anda dari neraka.

RAHSIA 2 – Berbuat baik kepada semua
~ Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. – Peribahasa Melayu.

Allah amat baik hati dan Dia menyukai mereka yang baik hati.” (Disahkan hadis Hasan oleh Al-Albani).

Ungkapan Lao Tzu; Ihsan (kebaikan) dalam kata-kata, membina keyakinan. Ihsan dalam pemikiran, membina kefahaman mendalam. Ihsan dalam ketulusan hati, melahirkan kasih sayang.

Sabda Rasulullah s.a.w;
“Allah akan membantu seseorang itu selagi dia membantu saudaranya.” (Muslim)

SubhanAllah, segala perbuatan baik yang kita lakukan selama ini yang kita rasa hanya menguntungkan orang lain, sebenarnya menguntungkan diri kita sendiri. Hadis di atas jelas menyatakan, Allah telah berjanji, selagi kita membantu saudara kita, Dia juga akan terus membantu kita! Jadi ringankan tulang anda dan ikhlas memberi bantuan agar anda juga mendapat bantuan berpanjangan daripada Allah untuk ganjaran kebaikan yang anda lakukan itu.


RAHSIA 3 – Tangan yang Memberi Lebih Baik daripada Tangan yang Menerima
~ Jika anda berharta, sedekahkanlah harta anda, jika anda miskin, sedekahkan keikhlasan hati anda. – Peribahasa Arab.

“Barang siapa yang bersedekah bernilai sebiji kurma daripada rezekinya yang halal (lantaran tidak ada yang diangkat kepada Allah SWT melainkan yang baik-baik semata-mata) maka Allah SWT menerimanya lalu disimpan di sisi-Nya dan dikembangkan ganjaran pahalanya bagaikan seekor anak kuda yang membesar setinggi gunung.” (Al-Bukhari dan Muslim).

Saya pasti jika anda memahami hadis di atas, dalam kocek anda pada masa ini ada wang yang sama nilai dengan sebutir tamar, pasti anda tidak sabar untuk sedekahkannya supaya ‘tamar’ ini akan berlipat ganda nilainya sehingga setinggi gunung. Seronok bukan!

RAHSIA 4 – Maafkanlah dan Teruskan Kehidupan Kita
~ Abaikan kesalahan kecil kerana kesalahan kita sendiri lebih besar. – Peribahasa Scotland.

Sebuah ungkapan yang diucapkan oleh Nabi Isa a.s;
“Usahlah melihat kesilapan orang lain seolah-olah anda seorang bangsawan. Sebaliknya, lihatlah kesilapan sendiri seolah-olah anda seorang hamba...” (Muslim).

Ungkapan ini memberi maksud bahawa, kita dinasihatkan tidak melihat kesilapan orang lain seolah-olah kita manusia yang sempurna dan tidak melakukan kesilapan.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda;
“Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan, dan yang paling baik di antaranya ialah mereka yang bertaubat.” (Al-Tarmizi).

Sabda baginda lagi;
Jika seseorang itu bersedekah, hartanya tidak berkurangan; jika seseorang itu memaafkan orang lain, Allah akan memuliakannya; dan jika seseorang itu merendahkan diri demi Allah, Allah akan meningkatkan darjatnya.” (Muslim).

Allah telah berjanji, jika kita telan ego, rasa bangga dan marah kita, dan memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap kita, maka Allah akan memberikan kita kemuliaan. Ya, Allah, demi-Mu, aku maafkan semua kesilapan insan-insan naif yang selama ini pernah menyakiti hatiku. Amin.

RAHSIA 5 – Usah menilai orang lain
~ Sebelum saya menilai jiran saya, biarkan saya berjalan memakai kasutnya sejauh sebatu. – Peribahasa Sioux.

Sabda Nabi Isa;
“Usahlah banyak berbicara tanpa menyebut nama Allah kerana ini membuatkan hatimu keras. Hati yang keras begitu jauh dari Allah tetapi kamu tidak menyedarinya. Usah memandang kesalahan orang lain seolah-olah kamu mulia. Pandanglah kesalahan kamu sendiri seolah-olah kamu seorang hamba. Ada orang yang banyak berbuat salah dan ada pula yang dilindungi dai berbuat salah. Kasihanilah mereka yang banyak berbuat salah dan bersyukurlah kepada Allah atas perlindungan-Nya.” (Muslim).

Nasihat baginda Nabi Isa;
1. Banyakkan menyebut nama Allah masa berbicara untuk elak hati keras.
2. Usah memandang kesalahan orang lain seolah-olah kita seorang yang sempurna/mulia.
3. Pandanglah kesalahan sendiri seolah-olah kita seorang hamba.
4. Terdapat orang yang banyak melakukan kesalah dan ada pula yang dilindungi daripada melakukan kesalahan.
5. Kasihanilah mereka yang banyak melakukan kesalahan dan bersyukurlah kepada Allah kerana melindungi kita dar melakukan kesalahan.

RAHSIA 6 – Berdoalah untuk mereka apa yang kita doakan untuk diri kita sendiri
~ Matahari pasti menyinari halaman anda juga. – Peribahasa Russia.

Pesan Nabi Muhammad s.a.w;
Tiada beriman seseorang kami hingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya.” (Al-Bukhari).

Janji Rasulullah s.a.w kepada umatnya;
Doa secara rahsia yang dipohon oleh seorang Muslim untuk saudaranya akan dimakbulkan. Ada malaikat di sisinya setiap kali dia berdoa bagi saudaranya, yang berkata: ‘Amin, dan yang sama untukmu.” (Muslim).

Ya, Allah, jika kita berdoa kepada sepuluh sahabat kita, dan 10 sahabat saya berdoa untuk saya, maka saya akan mendapat 20 doa untuk saya – berapa banyak doakah yang akan dimakbulkan?

RAHSIA 7 – Raikan kejayaan orang lain
~ Cemburu berjaya menjelmakan dirinya menjadi kuasa kejahatan. – Peribahasa Rom.

“Dengki tidak memakan apa-apa selain dari hatinya sendiri.” – pepatah Jerman.

Sabda Rasulullah s.a.w;
Kamu tidak akan masuk Syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih-sayang antara kamu.” (Muslim).

Rasulullah telah menjelaskan bahawa saya tidak akan masuk Syurga sehinggalah saya beriman, dan saya tidak dikategorikan sebagai orang yang beriman hingga saya mengasihi orang lain. Bagaimana pula jika ada rasa iri di hati saya? Masya-Allah moga dijauhkan sifat ini dari lembaran kehidupan saya.

RAHSIA 8 – Apabila anda menuding satu jari kepada orang lain, empat jari lain menuding kepada anda.
~ Pekerja yang kurang mahir menyalahkan alat tukangnya. – Peribahasa Amerika.

Adalah lumrah manusia melakukan kesilapan, tetapi anda melakukan kesilapan yang lebih besar jika anda menyalahkan orang lain.

Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang nyata.” (An-Nisaa’ 4:112)

Usah marahkan ‘dinding’. Usah menuduh orang lain. Selesaikan sahaja masalah yang dihadapi!

RAHSIA 9 – Bergantung hanya kepada-NYA.
~ Hidup tanpa iman bagaikan memandu di dalam kabus. – Peribahasa

Sabda Rasulullah s.a.w;
Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, tentu Allah memberi rezeki kepadamu, seperti halnya Allah SWT memberikan rezeki kepada burung yang pergi pagi hari dalam keadaan lapar, tetapi pulang petang hari dalam keadaan kenyang.” (At-Tirmidzi).

RAHSIA 10 – Kejujuran membawa keuntungan
~ Hati yang bebas daripada kesalahan adalah umpama bantal yang empuk. – Peribahasa Perancis.

Hadis Nabi Muhammad s.a.w;
Ada tiga tanda orang munafik; apabila berkata, dia berdusta, apabila berjanji, dia memungkirinya dan apabila diamanahkan, dia mengkhianatinya.” (Al-Bukhari dan Muslim).


RAHSIA 11 – Menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan
~ Seorang yang bijak boleh menyesuaikan diri dengan perubahan hidup, seperti mana air mengikut bentuk balang air. – Peribahasa Cina.

Firman Allah;
Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Al-Baqarah 2:286).

Sesungguhnya setiap sesuatu perkara yang hadir dalam kehidupan kita ada hikmah yang tersembunyi dan usah gentar kerana seberat mana ujian diberikan ia sebenarnya akan mampu kita atasi kerana Allah tidak akan memberikan ‘kesukaran’ yang tidak mampu kita rintangi. Cuma terpulang kepada kita cara yang bagaimana ingin kita lepasi rintangan tersebut!

RAHSIA 12 – Dengar dan turuti nasihat
~ Sesiapa menyusur sungai akhirnya sampai jua ke laut. – Peribahasa Norway.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d 13:11).

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib kita sekiranya kita sendiri malas untuk berubah.

Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit...” (Taha 20:124)

Kehidupan yang sempit, kesempitan yang bagaimanakah itu? Ya, Allah jauhkan aku, keluargaku dan sahabat-sahabatku dari kesempitan hidup dunia akhirat. Amin.

RAHSIA 13 – Kesabaran itu satu kemuliaan
~ Kemarahan yang meluap lebih berbahaya dari sebilah pedang. – Peribahasa Tamil.

Willard Gaylin berkata;
“Menunjukkan kemarahan merupakan satu contoh pencemaran awam.”

Khalifah Ali r.a pula berkata;
“Lindungilah diri kamu daripada kemarahan kerana permulaannya ialah kegilaan dan penghujungnya ialah penyesalan.”

Besarnya kuasa yang ada pada kemarahan, yang mana apabila ia meletup dengan tiba-tiba dan orang itu akan hilang pertimbangan

Pesan Thomas Jefferson; Bila anda marah, kiralah satu hingga sepuluh sebelum anda bercakap; jika amat marah, kira hingga seratus.


Amanat Nabi kita;
Apabila seseorang di antara kamu menjadi marah sedang dia berdiri maka hendaklah dia duduk, sesungguhnya yang demikian itu akan menghilangkan marahnya, dan jika tidak hendaklah dia berbaring.” (Ahmad dan Abu Daud).

Satu lagi penyelesaian daripada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w;
Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan oleh orang yang sedang marah, nescaya akan hilang kemarahannya, iaitu, ‘Aku berlindung dengan Allah Ta’ala daripada syaitan yang direjam’. Jika dia mengucapkan kata-kata ini, kemarahannya akan reda.” (Muslim).

Jadi jika anda ingin sentiasa waras, hindarilah kemarahan dan elakkan daripada melakukan ‘pencemaran awam’ dengan sifat marah anda.


RAHSIA 14 – Kasihi anak-anak kita
~ Jiwa kita terubat bila bersama anak-anak kecil. – Peribahasa Inggeris.

Orlando A. Battista; Harta terbaik yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anak mereka ialah masa yang diluangkan bersama mereka, walaupun beberapa minit.

Setiap di antara kita (bagi yang sudah berkeluarga) mengharapkan anak-anak akan berbakti saat kita lanjut usia. Namun pernahkah kita terfikir adakah cukup bakti kita kepada anak-anak sehinggakan mereka merasakan bahawa kita mengasihi mereka dan mereka juga akan mengasihi kita hingga ke akhir usia?

Jika kita sendiri tidak mengambil berat tentang keinginan, harapan anak-anak dan tidak mengasihi mereka, bagaimana nanti mereka akan mendoakan kita sebagaimana doa berikut yang telah Allah sarankan kepada mereka demi kebaikan kita;
“...kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”
– Tidak malukah anda ingin meminta didoakan begini sedangkan anda tidak pernah peduli perasaan anak-anak anda!

RAHSIA 15 – Senyumlah dan dunia akan tersenyum bersama kita
~ Hidup ini singkat, namun senyuman hanya mengambil masa sesaat sahaja. – Peribahasa Cuba.

Anthony J. D’Angel; Senyuman ialah kunci yang membuka hati semua orang.

George Eliot berkongsi tip kecantikan; Jika wajah anda berseri dengan senyuman, ramailah kawan; jika wajah anda masam, maka banyaklah kedut.

Hahahahahaha...saya ingin selalu tersenyum agar tidak melakukan pencemaran alam dan lambat tiba zaman kedut saya. Anda pula bagaimana?

RAHSIA 16 - Dengarlah, ia pasti berbaloi
~ Berbicaralah umpama menanam; mendengarlah umpama menuai. – Peribahasa Kurdis.

Mel Gibson; Jika anda ingin menyingkap kelemahan seseorang, biarlah dia bercakap dan dengar apa yang dikatakannya.

Berilah ruang kepada orang lain untuk berkongsi sesuatu dengan kita meskipun kita arif berkaitan hal tersebut. Jangan menyampuk, bila rakan kita selesai bercakap barulah anda menyuarakan apa yang anda ketahui sebagai perkongsian. Itukan lebih hebat namanya!

RAHSIA 17 – Bersangka baik terhadap orang lain
~ Minda yang mengenali kesucian mentertawakan bohongan khabar angin. – Peribahasa Latin.

Perumpamaan Amerika; Perwatakan itu umpama sebatang pokok, dan reputasi itu pula bebayangnya. Bebayangnya bergantung pada tanggapan kita mengenainya – pokok itu sendiri ialah kebenaran perwatakan itu sendiri.

Firman Allah;
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka...” (Al-Hujurat 49:12)

Kita sering bersalah anggap tentang orang lain kerana kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi, kefahaman yang betul atau pengetahuan yang tepat mengenai seseorang atau sesuatu perkara itu. Mmmmm...kejamnya jika membuat persepsi yang silapkan!

RAHSIA 18 – Hargai perbezaan kita
~ Kepelbagaian adalah rempah kehidupan. – Peribahasa Amerika.

Miguel Carbantes; Dunia ini terdiri dari pelbagai ragam manusia.

M. Scott Peck; Kongsikan persamaan dan raikan perbezaan.

Rasulullah s.a.w ada berpesan tentang betapa pentingnya kita saling bantu-membantu.
Perumpamaan orang Mukmin dalam cinta dan kasih sayang sesama mereka bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya yang mengadu kesakitan, maka anggota tubuh yang lainnya ikut merasakannya, tidak dapat tidur dan merasa demam.” (Al-Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berbuat kebaikan.” (Al-Baqarah 2:195)

Apabila Allah mencintai seorang hamba, Allah akan memanggil Jibril sambil berfirman: ‘Sesungguhnya Allah SWT mencintai si fulan, oleh yang demikian cintailah dia’. Kemudian Jibril mencintai orang itu dan berkata kepada penghuni langit: ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan itu, oleh itu cintailah dia’. Penghuni langit pun akhirnya mencintai orang itu. Kemudian kecintaannya diteruskan kepada penghuni bumi.” (Al-Bukhari dan Muslim).

Tentu kita mahu dicintai Allah, dicintai oleh Jibril dan juga seluruh alam. Mudah sahaja, cintai dan kasihilah saudara-saudara Muslim kita.

Alhamdulillah, moga-moga 18 rahsia ini mampu memberi ‘sesuatu’ input kepada sahabat-sahabat saya untuk dijadikan panduan dalam perjalanan kehidupan ini. Seperti yang saya nyatakan di awal kalimah, ini hanya ‘sedikit’ perkongsian. Selebihnya dapatkan buku asal kerana terdapat pelbagai cerita menarik sebagai contoh di setiap tajuk.

Percayalah, kehidupan ini sesuatu yang indah, dan keindahan itu kita sendiri yang menentukannya. Semoga anda semua sahabat-sahabat saya, bahagia, dirahmati-Nya dan sejahtera dunia akhirat. Amin.


Nukilan:
Iera Yusoff
27 Oktober 2011, 4.41am

3 ulasan:

Azlinaliza berkata...

Bole pinjam x buku ni?....Try cari buku motivasi version english pulak...Edward De bono...very interesting....

iera yusoff berkata...

Boleh, tapi bagaimana ingin saya pinjamkannya pada saudari ya?

Azlinaliza berkata...

nanti akan ku pergi ke meru pinjam buku tu...ok...lupa nk pinjam haritu...

Catat Ulasan