Mengoncangkan DUNIA melalui PENA

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan? (Wahai umat manusia dan jin) - Al-Rahman: 13. Kongsikan catatan kehidupan anda yang mampu memberi motivasi dan nilai tambah kepada teman-teman lain. Moga perkongsian ilmu ini meletakkan kita sebelah kaki di taman-taman SYURGA.

Khamis, 13 Oktober 2011

HANYA SATU KALIMAH, ALLAH TURUNKAN BALA SEGERA

Subhanallah, membaca tajuk di atas sudah cukup membuat anda semua tertanya-tanya apakah musibah yang diterima oleh 'insan' yang bakal saya kongsikan ceritanya ini.

Kisah bermula kepada seorang suri di hati seorang lelaki yang bergelar suami. Selama ini setiap perkara yg dilakukan sang isteri sentiasa mendapat sokongan si suami yg semestinya mencintai isteri. Sebelum itu sedikit pengenalan berkaitan sang isteri yang mana seorang yang berkerjaya dan masih belajar.

Sokongan suami nyata banyak membantu sang isteri, begitu juga dalam pengajian yang diikutinya. Dan isteri amat berterima kasih dan bersyukur dianugerahkan lelaki sebaik suaminya.

Benarlah, syurga bagi seorang anak lelaki adalah keredaan ibunya, manakala SYURGA BUAT SEORANG ISTERI PULA ADALAH KEREDAAN SANG SUAMI. Namun Allah nyata mahu menduga keduanya.

Semester itu, terdapat satu mata pelajaran yang agak sukar dan ditakuti oleh mana-mana pelajar kerana pengalaman terdahulu menyaksikan ramai pelajar yang gagal mata pelajaran tersebut.

Awal-awal lagi si isteri kerisauan, suami pula memaklumkan bahawa untuk subjek tersebut dia tidak dapat membantu isteri kesayangannya kerana dia tidak arif, dan menyarankan si isteri untuk belajar sendiri. Akhirnya si isteri belajar bersungguh-sungguh untuk subjek tersebut tanpa bantuan suaminya yang tercinta. Alhamdulillah, peperiksaan pertengahan semester, kerana kerja keras, isterinya berjaya mendapat markah penuh untuk subjek yang ditakutinya itu.

Apabila tiba peperiksaan akhir semester, sebagaimana sebelum ini, si isteri bersedia dari awal bekalan yang cukup untuk bertarung dengan ‘killer’ subjek yang ditakutinya. Beliau amat yakin boleh berjaya sebagaimana sebelum ini.

Beberapa hari sebelum tibanya tarikh peperiksaan sebenar, sewaktu santai-santai bersama anak sambil menonton televisyen, atas dasar prihatin meskipun tahu dia tidak dapat membantu, si suami bertanyakan si isteri berkaitan peperiksaan subjek ‘killer’ tersebut. Dalam bersahaja dan lembut tanpa rasa apa-apa isterinya menjawab, “Abg tak perlu risau, ayang boleh buat lah.”

Pada hari peperiksaan sebenar, sebelah paginya ada mata pelajaran lain dan si isteri dapat menjawabnya dengan senang. Manakala subjek ‘killer’ itu jadualnya pada waktu petang. Tempoh menunggu masa peperiksaan sebenar itu, si isteri mengambil peluang untuk membuat sedikit latihan agar dia tidak lupa apabila masuk ke dewan peperiksaan sebenar nanti.

Namun, sesuatu telah berlaku. Jiwa isterinya berkecamuk, semua formula dan kaedah pengiraan yang dia ‘arif’ sebelum ini menjadi ‘blur’. Otaknya bagaikan tidak mampu berfikir. Puas beristighfar dan sebagainya namun dia tidak berjaya untuk menenangkan diri.

Akhirnya, saat tinggal 15 minit sebelum masuk ke dewan peperiksaan, si isteri menelefon suaminya dan menyatakan debaran yang dihadapi. Ringkas jawab sang suami, “Kan Ayang pandai subjek tu!”. Isteri terfana, yakinlah dia bahawa kalimah pendeknya tempoh hari melukakan suaminya tanpa niat dan disedarinya. Namun setelah perbualan tersebut tamat, si isteri menerima pesanan ringkas (sms) dari suami, simple sahaja, “Luv U’.

Nyata, apabila si isteri masuk ke dewan peperiksaan dan menduduki peperiksaan sebenar subjek tersebut, bagaikan magis apabila semua formula dan pembelajarannya sebelum ini hadir di mindanya sebagaimana selayaknya atas kegigihannya itu.

Saat itu, tanpa sedar air mata si isteri mengiringi jemarinya yang pantas menjawab soalan-soalan peperiksaan. Sedarlah dia bahawa, kalimah pertama dari bibirnya dulu meskipun tanpa niat, melukakan hati suaminya itu. Manakala kalimah meskipun dalam bentuk pesanan ringkas yang diterima sebelum masuk dewan peperiksaan adalah ‘keredaan’ si suami buat sang isteri.

Subhanallah, itulah kuasa Allah yang mana hanya dengan perkara yang cukup ‘simple’ pada pandangan kita, yang kita ambil mudah tetapi siapa sangka ia boleh menjadi satu ‘dosa’ besar yang tidak kita sedari. Syukurlah Allah terus memberi petunjuk kepada si isteri secara langsung di dunia, sekurang-kurangnya dia masih berkesempatan memohon ampun dan mendapat keredaan daripada suaminya itu.

Semoga sedikit perkongsian ini mampu memberi iktibar kepada anda semua sahabat-sahabat saya.


Isteri itu adalah saya sendiri dan mengakui khilaf diri meskipun perbuatan itu berlaku tanpa sedar dan tidak disengajakan. Buat suamiku, maafkan isterimu ini dan aku akan terus di sisimu, menyayangimu, menyanjungi, menghormatimu, dan menjadi isterimu dunia & akhirat selagi mana Allah menjaga hubungan kita ini. Moga bahtera kita bina dipayungi Yang Maha Esa. AMIN.

* Alhamdulillah, saya dapat 'A' untuk subjek STATISTIK. Terima kasih kepada Dr Jusang Bolong (my lecturer), my best frends Fairuz & Zura.


Perkongsian ikhlas:
Iera Yusoff
13 Oktober 2011.

0 ulasan:

Catat Ulasan