Mengoncangkan DUNIA melalui PENA

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan? (Wahai umat manusia dan jin) - Al-Rahman: 13. Kongsikan catatan kehidupan anda yang mampu memberi motivasi dan nilai tambah kepada teman-teman lain. Moga perkongsian ilmu ini meletakkan kita sebelah kaki di taman-taman SYURGA.

Isnin, 9 Mei 2011

BOLEHKAH KITA MEMBUAT PILIHAN?

Rata-rata cukup gemar apabila diberi peluang untuk membuat pilihan. Semestinya yang terbaik ingin dilakukan meskipun tidak tahu adakah itu pilihan terbaik atau tidak?

Rentetan kehidupan kita, acapkali istilah peluang untuk membuat pilihan hadir, memilih makanan kegemaran, jenama pakaian, kediaman, pendidikan, pekerjaan, sehinggalah diberi pilihan untuk memilih pasangan yang bakal menemani kita melayari bahtera kehidupan.

Dewasa ini hakikatnya usahawan-usahawan kita cukup istimewa kerana begitu banyak peluang terbentang di depan mata. Pelbagai tawaran dan pakej lengkap perniagaan disusun dari yang kosong hingga yang anda hanya perlu guna tenaga dan idea (sistem francais), itupun turut ditawarkan. Berbagai agensi dan kementerian giat menewarkan pelbagai peluang khusus buat usahawan-usahawan kita dari pelbagai sektor.

Jika masih ada di kalangan kita yang berkata, ‘tidak tahu hendak berniaga apa?’ rasanya pasti kemusykilan harus timbul di sini. Benarkah begitu atau individu terbabit yang ‘berat tulang’ untuk berusaha mendapatkan matlamatnya kecuali mengharap impian datang bergolek di hujung kaki.

Menyingkap usahawan-usahawan terdahulu yang gigih berusaha meskipun cabaran datang bertubi-tubi, tetapi kerana kecekalan, optimis dan tahu bahawa pilihan dibuat adalah tepat, kejayaan mereka rangkul walau terpaksa melalui peredaran masa yang panjang.

Lantas semestinya penghargaan harus diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia atas keperihatinan kementerian terbabit memberi penghargaan kepada golongan yang memberi sumbangan bukan sedikit kepada pertumbuhan ekonomi negara. Paparan eksklusif ini kami muatkan di muka surat 10 hingga 12 untuk dikongsi bersama dalam majalah Jutawan bilangan 19.

Buatlah pilihan anda selagi diberi peluang untuk berbuat demikian. Harus diingat masa tidak pernah menunggu kita kecuali kita yang perlu mengejarnya. Sedikit kita terpesong atau tersasar peluang terbabit menjadi sia-sia.

Cuma satu yang tiada dua, atau tiga dan kita tidak berpeluang untuk membuat pilihan atau jika diberi pilihan rasanya hanya dia yang satu, dialah ibu yang melahirkan kita. Hanya dia yang satu abadi selamanya dunia dan akhirat. Selamat Hari Ibu untuk ibu-ibu seluruh dunia.

Berusahalah membuat pilihan yang tepat!

0 ulasan:

Catat Ulasan