Mengoncangkan DUNIA melalui PENA

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan? (Wahai umat manusia dan jin) - Al-Rahman: 13. Kongsikan catatan kehidupan anda yang mampu memberi motivasi dan nilai tambah kepada teman-teman lain. Moga perkongsian ilmu ini meletakkan kita sebelah kaki di taman-taman SYURGA.

Isnin, 9 Mei 2011

3 BIJI DONUT & KUASA SEBUAH SENYUMAN

Pagi tadi sebelum ke pejabat, kebetulan melewati sebuah gerai jual minuman dan kuih muih di tepi jalan. Tergoda dengan air kelapa muda yang dipenuhi dengan isi kelapanya di dalam balang minuman yang besar, aku lantas singgah sambil memesan segelas untuk dibungkus yang nantinya boleh diminum dalam perjalanan ke pejabat.

Sambil menanti tempahan dibuat aku khusyuk meneliti email-email jemputan media dan pengiklanan melalui iphone kesayanganku.

“Kak, nak masuk plastik ke?” tanya jurujual yang comel dan manis itu.

Aku tersedar dari kelekaan lantas memandang muka adik manis itu sambil tersenyum.

Tiba-tiba mataku terpandang barisan donut yang disusun cantik di dalam bekas lutsinar tidak jauh dari balang air kelapa. Ku pandang wajah seorang lagi jurujual lelaki dalam lingkungan 40an yang kebetulan memandangku sambil menghadiahkan senyuman.

“Bang, donut ni dijual bagaimana ya?” tanyaku.

“5 biji RM2 sahaja cik, tapi disebabkan dari tadi saya lihat cik senyum kepada sesiapa sahaja maka saya jual pada cik 3 biji untuk RM1,” jawab peniaga lelaki itu.

“Oh, ada juga begitu ya,” jawab ku jujur.

“Orang kita sekarang ni cukup susah nak berikan senyuman. Padahal bukan kena bayar pun. Tapi melihat cik senyum tadi melegakan tekanan saya, dengan harapan dapat ramai pelanggan hari ini.” Jelas peniaga tersebut. Aku lihat kejujuran pada anak matanya.

Akhirnya aku yang pada asalnya ingin beli 2 biji sahaja (jika gerai lain menjualnya 40 sen sebiji) terus membeli RM3, untuk 9 biji donut yang kemudiannya dibawa ke pejabat dan makan bersama teman-teman.

Cuma ayat terakhirku kepada peniaga lelaki terbabit, “Marketing yang bagus bang, sekurang-kurangnya abang dapat rezeki yang lebih hanya dengan memberi pujian. Dan saya dapat tambahan donut pada harga yang lebih murah hanya dengan sebuah senyuman.”

Sedarkan anda bahawa wajah merupakan media ekspresi seseorang. Melalui gambaran wajahnya kita dapat menilai diri dan pergolakan jiwa yang melanda dirinya. Namun ada juga yang individu dapat menutup permasalahan diri melalui wajah yang murah dengan senyuman. Kerana itu senyuman menjadi sangat variasi dengan nilai dan karakteristik yang warna-warni.

Senyuman adalah satu tabiat manusia yang cukup misteri. Ada pula yang mengatakan bahawa senyuman adalah sesuatu yang aneh, Tapi yang nyata, walaupun semua orang punyai bibir namun untuk urusan yang satu ini tidak semua orang mampu melakukannya terutama jika dalam keadaan marah.

Variasi dengan nilai dan karakteristik senyuman yang warna-warni:

i. Senyuman Egois/ sinis – ia sebuah senyuman tanpa persahabatn. Sebuah senyuman yang terhasil daripada perasaan dendam kesumat. Senyuman ini dapat menyebabkan penerima senyuman sakit hati melihatnya.

ii. Senyuman Mengoda – ia bertujuan menggoda seseorang. Biasanya dilakukan terhadap lawan jenis.

iii. Senyuman Ketabahan – senyuman yang menghiasi bibir-bibir orang yang tabah menghadapi dugaan mesti pun sarat menanggung kepayahan sehinggakan tiada sesiapa mengetahui kesengsaraan yang dihadapinya. Biasanya mereka melewati musibah dengan kejayaan kerana penawarnya adalah senyuman tulus dari bibirnya itu.


iv. Senyuman tulus dari hati yang paling dalam – ia muncul untuk membahagiakan, menghormati, dan memuliakan orang lain. Senyuman ini menunjukkan kondisi paralel antara bibir (lahiriah) dengan hati (bathiniah). Sebuah senyuman yang dalam syariat Islam bernilai ibadah, sebuah sedekah yang mudah dan ringan. Sebuah jambatan mengeratkan silaturahim dan jalinan ukhuwah.


Manfaat senyuman kepada individu terbabit dan orang lain:
i. Dari sudut penampilan – senyuman dapat memperbaiki penampilan dan menambah daya tarikan. Tidak kira senyuman tersebut sengaja diada-adakan, terpaksa atau tulus, namun ia tetap menjadi baik dan mempunyai nuansa tersendiri. Lebih manis senyuman itu, lebih indah dan menyejukkan hati. Dengan senyuman kita akan lebih dihargai dan disegani.

ii. Dari sudut kesihatan – individu yang murah dengan senyuman biasanya terhindar daripada penyakit stress. Jantungnya berdetik secara normal yang menjauhkan dirinya dari ketegangan. Individu ini akan melalui kehidupan seharian dengan senang dan ceria, mempunyai tubuh yang sihat dan awet muda. Menurut kajian perubatan, untuk menghasilkan sebuah senyuman memerlukan bantuan 17 otot wajah. Jadi tidak menghairankan jika kita sering bertemu individu yang berusia lewat 50an namun wajahnya masih segar, ceria dan sihat. Ia berbeza dengan individu yang suka marah, hobinya bermasam muka, atau suka merungut yang biasanya kelihatan lebih tua kerana sifat-sifat ini memerlukan sokongan lebih 32 otot wajah.

iii. Dari sudut sosial – sebuah senyuman akan membentuk keakraban dalam pergaulan masyarakat, dan ini akan menambahkan suasana hangat dan indah. Senyuman memang satu kuasa yang hebat yang mampu meluluhkan kemarahan seseorang. Hendaknya kita membiasakan diri untuk bersikap tenang dan murah dengan senyuman dalam pergaulan. Bila kita mampu melaksanakan ajaran Rasulullah s.a.w, maka permusuhan dan dendam dapat dihindari. Bukankah dunia akan menjadi indah dengan senyuman, maka senyumlah dan dunia akan tersenyum bersama kita.


Senyuman adalah sifat yang terpuji dan indah, yang mampu menarik hati, menenangkan jiwa dan mengembirakan diri kita dan orang-orang di sekeliling kita. Bagaimana kita seorang Muslim tidak tersenyum sementara kita telah mengakui bahawa Allah sebagai Rabbul Al Amin, Islam sebagai agama, dan Muhammad s.a.w adalah nabi kita.

Bagaimana kita tidak senyum sementara dianugerahan kita taman-taman yang indah, dengan alam kehijauan yang menenangkan?

Bagaimana kita tidak senyum sementara Allah telah mengadakan bintang-bintang yang terang, lautan yang luas, tanah yang berkelok-kelok dan planet-planet yang berputar mengikut paksinya?

Bagaimana kita tidak senyum, sementara burung-burung menyanyi, mentari bersinar, bulan bercahaya indah, pagi hari yang datang dengan sinar memancar, dan hujan di balik awan?

Bagaimana kita tidak senyum sementara angin sepoi-sepoi bertiup, daun-daun gemersik, kenari bersiul, aroma indah bertiup, air yang jatuh ke batuan mendendangkan irama alam?

Segalanya yang dianugerahkan kepada kita penuh dengan keindahan yang tidak mampu kita balas. Justeru itu, sukarkah kita sekadar sedekah sebuah SENYUMAN kepada insan lain di sekeliling kita? Senyumlah kerana ia anugerah terindah buat diri kita dan biarlah keindahan itu kita kongsikan dengan makhluk lain yang sama-sama diciptakan dengan rahmat-Nya.

SENYUMLAH dari hati yang tulus dan ikhlas maka kebahagiaan itu milik anda. Buktinya dengan sebuah senyuman saya mendapat rezeki donut pagi ini pada harga yang istimewa. Bukankah itu istimewanya sebuah SENYUMAN!

2 ulasan:

Budakboy berkata...

Saya memang setuju sangat ngan puan, senyuman adalah satu yang cukup bermakna...rasa sejuk jer kalau ada org senyum kat kita. Cuma jangan salah senyum sudah hehe... =)

iera yusoff berkata...

Senyumlah selalu, selain ia satu sedekah, senyuman juga mampu mengembirakan insan-insan lain disekeliling kita.

Catat Ulasan